Friday, March 25, 2011
Rahmat Untuk Suami Isteri Yang Bangun Malam
Kebahagiaan dan kesejahteraan hidup yang merupakan impian setiap insan bukanlah sekadar terletak pada nilaian harta benda dan wang ringgit. Banyak rumah tangga yang hancur kerana mengikut teori kebahagian sendiri. Mereka menyangkakan wang adalah segala-galanya... Namun setelah memperolehi semuanya itu, rumah tangga masih tidak bahagia. Suami isteri tidak mesra. Bahkan sentiasa berkrisis, bermasam muka dan berburuk sangka. Hubungan ibu bapa dan anak-anak renggang.
Justeru itu, kebahagiaan bukan terletak kepada material semata-mata, yang paling utama ialah pimpinan suami itu sendiri.Suami perlu mendidik isteri ke arah mencapai cinta Allah, cinta agama dan cinta akhirat. Cinta kepada Tuhan akan mendorong seseorang itu untuk berbuat kebaikan demi mencari redha Allah.
Setiap pasangan perlu saling bantu-membantu untuk memajukan diri mencari keredhaan Allah terutama sekali pada waktu keheningan malam.Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:"Dan bantu-membantulah kamu dalam kebaikan dan takwa, janganlah kamu bantu-membantu dalam melakukan dosa dan pelanggaran." (Al-Maidah: 2)
Malah baginda s.a.w. sangat suka kepada suami isteri yang saling bantu-membantu dalam ketaatan, rukuk dan sujud dalam kegelapan malam ketika semua manusia tidur dengan lenanya. Itulah sebenarnya petua kebahagiaan dunia dan akhirat.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, katanya:Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: "Mudah-mudahan Allah merahmati seorang suami yang bangun pada tengah malam lalu mengerjakan solat dan membangunkan isterinya sama-sama melakukan solat. Sekiranya dia enggan, maka dipercikkannya ke wajahnya." "Mudah-mudahan Allah merahmati seorang isteri yang bangun tengah malam untuk mengerjakan solat dan juga membangunkan suaminya, jika dia enggan, maka dipercikkanlah air ke mukanya." (Riwayat: Abu Daud dan Ibnu Majah)Menerusi
hadis di atas jelaslah kepada kita betapa indahnya saat-saat seorang suami membangunkan isterinya dengan lemah-lembut seperti memercikkan air ke mukanya pada tengah malam supaya sama-sama melakukan ibadat kepada Allah s.w.t. apatah lagi jika anak-anak dapat ikut serta.
Betapa sayunya hati ketika ini mengenali dosa-dosa yang telah dilakukan. Air mata menitis tanda keinsafan. Zikir dialunkan tanda kesyukuran. Doa dipanjatkan memohon kesejahteraan keluarga dunia dan akhirat. Kebahagiaan seperti inilah akan melahirkan jiwa yang tenang, aman damai, tiada ketakutan, tiada kebimbangan malah berada di dalam keadaaan redha dan diredhai Allah dunia dan akhirat.
Ini jelas dalam firman Allah bermaksud:"Wahai jiwa yang tenang kembalilah kamu kepada Tuhanmu dalam keadaan kamu redha dan diredhai. Masuklah dalam hamba-Ku dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Al-Fajr: 27-30)
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah dan Abu Said r.a. katanya: Baginda Rasulullah s.a.w. bersabda: "Apabila seorang suami membangunkan isterinya pada waktu malam kemudian mereka mengerjakan solat dua rakaat, maka mereka termasuklah atau tergolonglah ke dalam golongan orang-orang yang banyak berzikir kepada Allah." (Riwayat: Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban)
Oleh itu, luangkan masa untuk bermunajat kepada-Nya agar tidak timbul penyesalan pada hari kemudian.
(KOLEKSI ANIS / Oleh Ustazah Siti Bahyah Mahamod)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment