Monday, March 21, 2011

Tawakkal Sebagai Satu Ibadah

Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung.
Oleh Ahmad Sabki Mohd Tahir , Berita Harian, Selasa, 02 Jun 2009 , 8 Jamadilakhir 1430


Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung

HIDUP tidak sunyi daripada berdepan masalah. Yang membezakannya hanya jenis masalah itu tidak sama antara seorang dengan seorang. Seseorang itu mungkin berdepan masalah besar menentukan hidup atau mati perniagaannya pada masa depan, manakala yang lain hanya sekadar mendapatkan rumah untuk dibeli.

Apa juga keadaan, mereka perlu mencari jalan menyelesaikannya. Masalah tidak akan selesai jika hanya berdiam diri berpeluk tubuh. Kejayaan atau kegagalan bergantung sejauh mana usaha dilakukan.

Selepas puas berusaha keras dengan pelbagai cara dan kaedah untuk menyelesaikan masalah, mereka boleh berserah kepada Allah iaitu bertawakal kepada Allah.

Tawakal satu ibadah hati paling utama dan akhlak iman paling agung. Seorang ulama menyatakan tawakal ialah percaya kepada Allah dan hanya kepada Dialah kita mengharapkan segala sesuatu, bukan kepada siapa pun.


Imam al-Ghazali menyatakan tawakal satu manzilah (keberadaan) bagi orang beriman, bahkan tawakal darjat muqarrabin atau orang yang dekat dengan Allah.

Ali al Qari pula menyebut tawakal adalah mengetahui dan yakin tidak ada yang mampu berbuat dalam alam ini kecuali atas kehendak Allah.

Abu Ali Ad-Daqqaq berkata, tawakal itu ada tiga tingkatan. Tawakal itu sendiri, kata Abu Ali Ad-Daqqaq: "Berserah diri, kemudian pasrah. Orang bertawakal berasa tenang kerana ada janji daripada Allah, orang berserah diri cukup dengan pengetahuan mengenai Allah dan orang pasrah reda terhadap hikmah Allah. Tawakal adalah permulaan, berserah diri adalah pertengahan dan pasrah adalah penghabisan."

Kata Abu Ali Ad-Daqqaq lagi: "Tawakal sifat orang mukmin, berserah diri adalah sifat wali dan pasrah adalah sifat muwahhidin. Tawakal sifat orang awam, berserah diri sifat orang khusus dan pasrah sifat orang lebih khusus lagi. Tawakal ialah sifat nabi, berserah diri ialah sifat Ibrahim dan pasrah sifat Nabi Muhammad."

Orang yang tawakal selalu menggantungkan diri dan menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Mereka sentiasa berlapang dada dan tidak resah bila dibelit masalah. Mereka tidak cepat berputus asa, sebaliknya sentiasa yakin dan percaya kepada kemampuan diri sendiri. Mereka hanya berserah (tawakal) kepada Allah selepas segala usaha dan ikhtiar dilakukan.

Mereka bertawakal kepada Allah kerana mereka mempunyai perasaan kuat Allah Yang Maha Pemberi segala-galanya. Allah memberi rezeki, memberi kejayaan, memberi kepandaian, memberi kesenangan, memberi keselamatan dan semuanya datang daripada Allah. Kita hanya berusaha mencari dan mendapatkannya.

Dalam al-Quran Allah berfirman bermaksud: "Dan percayalah (tawakallah) dirimu kepada Allah, jika kamu betul-betul beriman." (Surah al-Maidah ayat 23).

Allah sangat mencintai hamba-Nya yang bertawakal. Dan Allah akan memberikan jalan keluar serta akan memberikan rezeki yang datang tanpa disangkanya. Dengan kata lain, mereka (orang tawakal) tanpa gusar yakin terhadap ketentuan dan kekuasaan Allah hingga menyerahkan segenap permasalahan kepada-Nya semata.


Allah berfirman bermaksud: "Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (dikehendaki-Nya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu." (Surah Ath Thalaq ayat 3).

Dalam bukunya Para Kekasih Allah, Abdillah F Hasan berkata dalam al-Quran tidak kurang dari 40 ayat membahas masalah tawakal, baik dalam bentuk perintah mahupun keutamaan bagi hamba mampu melaksanakannya.

Yusuf al Qaadhawi dalam kitabnya Ath Thariq Ilalah, At Tawakal mengungkapkan mengenai keistimewaan disandang hamba Allah bertawakal kepada-Nya, iaitu timbul ketenteraman jiwa, kekuatan jiwa (kekuatan spiritual), kewibawaan, keredaan dan percaya diri.

Orang beriman yakin akan pertolongan Allah. Allah tidak akan membiarkan orang berjuang di jalan-Nya. Allah tetap menolong mereka, cuma cepat atau lambat saja.

Orang yang mantap dan teguh imannya tidak ragu-ragu dengan janji Allah ini. Mereka penuh yakin Allah tidak mengingkari janji kerana mereka tahu dan ingat keagungan Allah, kesempurnaan ilmu-Nya dan kudrat-Nya. Allah ingat kepada hamba-Nya yang tidak pernah lupa mengingati-Nya di mana-mana.

Firman Allah dalam al-Quran bermaksud: "Dan Kami selalu berkewajipan menolong orang-orang yang beriman." (Surah Ar-Rum ayat 47).

No comments: